PBTSELANGOR

MPSJ sumbang RM72,000 santuni masyarakat bandar

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 6 OKT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyumbangkan RM72,000 kepada 15 penerima setiap dari 24 Zon Jawatankuasa Penduduk di bawah pentadbirannya.

Sumbangan itu disampaikan dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Program Kesejahteraan Masyarakat Bandar (PKMB) MPSJ 2018 yang diadakan di Dewan Kompleks 3K, SS13, di sini.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, antara objektif sumbangan untuk membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan sekali gus memastikan pengagihan bantuan dapat dibuat secara terus kepada penerima yang layak.

“Ia merupakan sebahagian program untuk menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam melaksanakan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang banyak membantu masyarakat kurang berkemampuan di Selangor khususnya.

“Seperti sedia maklum, kehidupan di bandar ini selalunya kemiskinan relatif dan pihak kami sendiri banyak mengadakan pelbagai program untuk memberdaya golongan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan PKMB MPSJ 2018, di sini.

Selain itu, Noraini berkata, program itu sebagai platform bagi mengeratkan jalinan persaudaraan tanpa mengira kaum, agama serta memberikan motivasi juga kesedaran terhadap aspek perhubungan sosial dalam komuniti.

“Saya optimis supaya sumbangan dan bantuan yang diterima dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya.

Terdahulu, seramai 360 orang menerima sumbangan membabitkan golongan ibu tunggal, anak yatim, Orang Kelainan Upaya dan golongan kurang berkemampuan dengan masing-masing menerima bantuan RM200 pada majlis tersebut.

Majlis penyampaian sumbangan itu merupakan kesinambungan daripada program tahun 2018 dan dilaksanakan selaras dengan Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 bagi teras 5 : Pembentukan Masyarakat Madani dalam usaha menjadikan MPSJ sebuah perbandaran mampan serta dapat melahirkan komuniti madani.


Pengarang :