SELANGOR

MB: Kerajaan Negeri rangka perubahan baharu demi pembangunan negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 6 OKT: Kerajaan Negeri merangka beberapa perancangan baharu untuk dilaksanakan bagi mendepani isu pasaran hartanah tidak menentu ketika ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, walaupun Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) beroleh perkembangan baik tetapi perancangan sebegitu penting kerana Kerajaan Negeri menitikberatkan perubahan termasuk pembinaan rumah terutama rumah mampu milik untuk rakyat diteruskan dari semasa ke semasa.

“Cabaran besar dihadapi ketika ini ialah penggunaan tanah dengan kos tinggi berikutan faktor pasaran agak berkurangan akhir-akhir ini maka kita perlu melihat beberapa aspek baharu termasuk proses perbandaran semula di beberapa kawasan sedia ada.

“Di samping itu, Kerajaan Negeri juga memikirkan kluster ekonomi baharu bagi Selangor yang saya kira masih kurang dan berpeluang untuk diterokai di mana antara kawasannya ialah Petaling Jaya hingga ke Klang iaitu kawasan ini adalah padat penduduk dengan kepesatan industri serta mengalami pembangunan makmur,” katanya pada majlis perasmian penutup Kejohanan Golf Jemputan PKNS 2018 di Kelab Golf Seri Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan pelbagai kemudahan logistik dimiliki, Kerajaan Negeri yakin kedua bandar itu boleh digabungkan dan percaya zon itu dapat dimanfaatkan dan mampu menjadi kawasan makmur.

“Ia sekali gus menjadikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menwujudkan kota metropolis atau menjadi ‘Smart State’ dapat direalisasikan pada masa depan.

“Ia antara pandangan baharu sedang diteliti dari pelbagai aspek dan saya kira PKNS akan memainkan peranan dalam perkara ini apatah lagi ia telah memainkan peranan bagi pembangunan Shah Alam dan Petaling Jaya sebelum ini,” katanya.

Berhubung kejohanan itu, Amirudin berkata, PKNS sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri yang terbabit dalam pembangunan hartanah, ia dapat mengeratkan hubungan PKNS dengan pihak berkepentingan (stakeholder) dan sebagainya yang terbabit dalam pembangunan negeri ini.

“Di saat pasaran hartanah tidak begitu berkembang ketika ini, ia satu cabaran harus dihadapi bersama dan PKNS perlu mengekalkan reputasi sebagai sebuah institusi menyediakan perumahan dan penempatan bandar baharu kepada masyarakat sekali gus menggerakkan serta menjana pendapatan ekonomi kepada Selangor,” katanya.

 


Pengarang :