BERITA UTAMAEKONOMINASIONAL

PM yakin ulangi kebangkitan krisis kewangan 1997, kembali sebagai Harimau Asia

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Malaysia mampu bangkit kembali daripada krisis kewangan seperti yang pernah dihadapi pada tahun 1997-1998 sekaligus kembali menjadi Harimau Asia yang digeruni di rantau ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, senario dihadapi negara hari ini hampir sama dengan apa yang berlaku pada masa itu.

“Krisis 1997/1998 kita cari solusi sendiri dan sekarang situasi agak sama di mana mata wang rendah, ekonomi juga perlahan.

“Masalah ketika ini ialah kita perlu cari duit untuk bayar hutang yang besar oleh kerajaan sebelum ini dan kita yakin kita mampu atasi krisis ini kerana kita sudah tempuhi dan berjaya tangani masalah itu sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Malaysia Confrence 2018: Malaysia A New Dawn anjuran RHB, Maybank dan CIMB di Hotel Shangrila di sini, hari ini.

Mahathir berkata, antara usaha dijalankan kerajaan termasuk menggalakkan pelabur asing untuk melabur di Malaysia.

Ketika ditemui media, Mahathir memberitahu, kerajaan juga bercadang memperkenalkan cukai baru yang mampu mengurangkan beban rakyat.

“Ia cukai yang berbeza tetapi akan mengurangkan beban rakyat dan inilah tujuannya untuk bayar hutang kerajaan,” katanya.


Pengarang :