NASIONALPENDIDIKAN

RMK-11: Kaji semula Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bersama Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 akan dikaji semula dengan mewujudkan perundangan baharu lebih baik ke arah mewujudkan kebebasan akademik, bersuara serta berpersatuan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan meningkatkan akses saksama kepada pendidikan dan latihan berkualiti seperti digariskan dalam Tonggak 4: Memperkasa Modal Insan.

“Menerusi pendidikan asas, usaha akan ditumpu kepada peningkatan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, penguasaan Bahasa Inggeris dan peningkatan kemahiran berfikir aras tinggi.

“Bagi menetapkan standard pendidikan lebih tinggi dan memupuk nilai murni serta budaya kerja positif seperti diamalkan di Jepun, kerajaan akan mengkaji semula kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan dan Penekanan Baharu, di Dewan Rakyat.

Katanya, kerajaan juga akan meningkatkan kualiti tenaga pengajar institusi pendidikan tinggi dengan meneruskan penajaan Skim Latihan Akademik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD).

“Dalam tempoh akhir rancangan, Kkerajaan akan melaksanakan Projek Pembinaan Bangunan bagi Pusat Perkhidmatan Rawatan Pesakit Luar dan Pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kompleks Fakulti Perubatan Veterinar di Universiti Malaysia Kelantan dan Hospital Pengajar di Universiti Malaysia Sarawak,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan juga akan meneruskan program latihan prapekerjaan di bawah skim Latihan Bakal Pekerja dengan menyediakan dana bagi membantu membiayai yuran program, di pusat pembangunan kemahiran negeri.

Katanya, menerusi tonggak sama, keutamaan juga akan diberikan terhadap usaha memperkukuh jalinan kerjasama Industri-Akademia supaya tawaran pembelajaran dapat dipadankan dengan kehendak permintaan.

“Kita akan menggalakkan institusi TVET untuk mempelajari dan menerima guna amalan terbaik daripada Jepun khususnya melalui penerapan pengetahuan dan kemahiran teknologi terkini dalam pengajaran serta pembelajaran,” katanya.


Pengarang :