NASIONAL

RMK-11: SPRM ditransformasi sebagai badan bebas

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan bertekad untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti serta membanteras gejala rasuah secara menyeluruh membabitkan sektor awam juga swasta.

Justeru, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan ditransformasi sebagai badan bebas dan Akta SPRM 2009 akan dikaji semula secara menyeluruh.

“Undang-undang pencegahan rasuah juga akan diperkukuh dengan mengkaji semula Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Rakyat perlu ada tempat untuk mengadu; Ombudsman Malaysia akan ditubuhkan untuk menyiasat dan melaporkan secara bebas aduan terhadap agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, bagi mempertingkatkan integriti Polis Diraja Malaysia pula, Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis akan ditubuhkan.

Sementara itu, ketika menyentuh isu pengurusan kewangan negara, kerajaan mengambil langkah menguat kuasakan pelaksanaan pengurusan kewangan awam secara berhemat.

Pada masa sama, katanya, reformasi menyeluruh ke atas mekanisme pengurusan dana awam juga akan dilaksana.

“Strategi yang akan dilaksana adalah mempertingkat sistem belanjawan negara, menambah baik pengurusan perolehan dan memperkukuh rangka kerja pengurusan prestasi, pemantauan serta penilaian,” katanya.


Pengarang :