NASIONAL

RMK-11: Sedia infrastrukur berkualiti

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Pembinaan lebuh raya di luar kawasan Lembah Klang akan diberi keutamaan termasuk meneruskan pelaksanaan jajaran Central Spine Road dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai bagi memperkukuh jaringan perhubungan merentas wilayah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan memastikan infrastruktur disediakan berkualiti dari segi integrasi, liputan, kemampuan dan kemampanan.

Katanya, kerajaan juga akan melakukan pembesaran terminal, pemanjangan landasan dan penambahbaikan kemudahan bagi lapangan terbang terpilih, misalnya menaik taraf kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

“Pertumbuhan logistik dan fasiliti perdagangan akan dipertingkat melalui inisiatif uCustoms, gerbang tunggal yang menyediakan proses bersepadu dan lengkap bagi pelepasan kargo.

“Inisiatif ini akan meningkatkan kecekapan dan produktiviti serta daya saing pemain logistik Malaysia yang akan dilancarkan pada awal 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan Dan Penekanan Baharu, di Dewan Rakyat.

Di samping itu, katanya, kerajaan juga akan meningkatkan kapasiti dan liputan jalur lebar menerusi National Fiberisation and Connectivity Plan dengan sasaran 95 peratus, di kawasan berpenduduk.

Katanya, usaha menambah baik perkhidmatan bekalan air kepada negeri yang mempunyai rizab margin rendah seperti Kedah dan Perlis akan diberi keutamaan dengan menaik taraf loji sedia ada serta membina loji baharu.

“Langkah ini termasuk pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan berpusat di bandar utama seperti Alor Setar, Kuantan dan Taiping,” katanya.

Menerusi Tonggak 6: Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi, katanya, kerajaan juga akan meningkatkan kecekapan bekalan tenaga elektrik menerusi pelaksanaan fasa kedua Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), dari 2018 hingga 2020.

Tun Dr Mahathir berkata, kecekapan dan daya harap bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia akan ditingkatkan, manakala pelaksanaan IBR diperluas ke Sabah dalam tempoh akhir rancangan.

“Langkah ini akan dicapai melalui pembinaan fasiliti terapung gas asli cecair yang kedua milik PETRONAS di luar pesisir pantai Sabah dan projek Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID) di Pengerang, Johor.

“Sementara itu, pembinaan loji janakuasa baharu akan dilaksanakan melalui bidaan kompetitif supaya lebih telus dan wujud persaingan sihat dalam kalangan pemain industri,” katanya.


Pengarang :