SELANGOR

Sabar ketika dirawat Hospital Serdang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERDANG, 3 OKT: Orang ramai diminta bersabar ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang ekoran jumlah pesakit yang agak tinggi, setiap hari.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, hal itu menyebabkan kemudahan sedia ada tidak dapat disediakan dengan baik.

“Kita sepatutnya berterima kasih kepada warga hospital kerana sedaya upaya memberi perkhidmatan terbaik, saya difahamkan ada kakitangan yang terpaksa bekerja dalam tempoh masa agak lama gara-gara jumlah pesakit yang ramai.

“Sebagai rakyat, kita sentiasa hendak yang terbaik daripada hospital tetapi tidak pernah memahami apa yang mereka lalui,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye mengadakan lawatan kerja di Hospital Serdang, hari ini.

Siti Mariah berkata, Hospital Serdang turut menerima jumlah pesakit jantung agak tinggi berbanding Institut Jantung Negara (IJN).

“Namun, masalah terbabit dapat dikurangkan melalui Bantuan Sihat Selangor apabila pesakit jantung dirujuk kepada IJN.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada penduduk di negeri ini supaya terus menjaga kesihatan diri,” katanya.


Pengarang :