SUKANKINI

SOPMA18: Futsal Selangor menang gangsa

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 20 OKT: Pasukan futsal Selangor meraih pingat gangsa dengan mengalahkan Wilayah Persekutuan 2 – 1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 di Arena Ipozo, Menglembu di sini, semalam.

Dalam perlawanan antara kedua pasukan jiran dari Lembah Klang itu nyata sengit dan hanya ditentukan pada saat akhir apabila Selangor berjaya menjaringkan gol kemenangan di penghujung perlawanan.

Selangor mendahului Wilayah Persekutuan 1 – 0 pada separuh masa pertama tetapi pasukan lawan menyamakan kedudukan pada babak kedua.

Kejayaan memperoleh gangsa itu nyata menggembirakan kontinjen Selangor kerana futsal pertama kali tersenarai dalam SOPMA 2018 ini.

Sementara itu, tuan rumah, Perak memenangi emas selepas menewaskan Kelantan 3 – 2 dalam perlawanan akhir.

Dengan kekalahan itu, Kelantan menduduki tempat kedua dan memperoleh perak.

 


Pengarang :