NASIONAL

SPR terima pencalonan Anwar bertanding berdasarkan pengampunan diraja

PORT DICKSON, 9 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini sekali lagi menegaskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim berkelayakan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson walaupun status pengampunan Ketua Umum PKR itu dipertikaikan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya menerima pencalonan Anwar untuk mewakili Pakatan Harapan (PH) pada PRK itu adalah berdasarkan kepada pengampunan diraja yang diperolehinya daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, 16 Mei lepas.

“Kami terima pencalonan Anwar berdasarkan pengampunan dan kami sedar bahawa proses perundangan sedang berlangsung, (dan) terpulang kepada hakim untuk membuat keputusan dalam isu ini.

“Tetapi buat masa ini Anwar adalah calon yang sah dalam PRK ini,” katanya kepada pemberita selepas memantau proses perjalanan undi awal di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Sebelum ini, status kelayakan Anwar untuk bertanding dipersoal pelbagai pihak termasuk terbaru daripada Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan yang dilaporkan berkata kononnya Anwar tidak layak bertanding pada PRK itu kerana Yang di-Pertuan Agong hanya memberikan pengampunan penuh dan bukan pengampunan bebas.

Sementara itu, ketika diminta mengulas laporan polis yang dibuat calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong semalam yang mendakwa Anwar telah melanggar Akta Pilihan Raya 1954 kerana memberi sogokan kepada pengundi semasa kempen PRK itu berlangsung, Azhar berkata beliau menyerahkan perkara tersebut pada polis untuk menyiasat.

Katanya setiap calon mempunyai hak untuk membangkitkan isu yang mereka rasakan salah dan membuat laporan polis.

“Biar polis siasat mengikut lunas udang-undang. Ini satu perkembangan baik di mana pengundi dan calon semakin arif, itu satu demokrasi sihat … jadi kita biarkanlah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azhar turut mengesahkan seramai 6,636 orang warga Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) dan pasangan terbabit dalam proses pengundian awal PRK hari ini dan bukannya seramai 5,631 seperti dikeluarkan pihak ATM.

“Saya ingin menekankan bahawa jumlah yang sebenarnya yang telah disahkan ialah jumlah yang diisytiharkan pihak SPR semalam”.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :