PENDIDIKANSELANGOR

Sultan bangga pencapaian UPM, optimis terus ditingkatkan

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 7 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bangga dengan pencapaian Universiti Putra Malaysia (UPM) itu yang sehingga kini kian meningkat naik.

Baginda bertitah, UPM kini sudah meningkat daripada segi termasuk dalam sektor penyelidikan yang dijalankan.

“Pencapaian ini bukan kayu ukur sebenar kecemerlangan, jika dibandingkan dengan sumbangan yang sudah diberikan UPM kepada kesejahteraan negara selama ini.

“Sudah semestinya banyak penyelidikan yang diusahakan oleh UPM telah berjaya menyelesaikan pelbagai permasalahan dan membawa kebaikan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang @ Homecoming ke-10, di Dewan Besar UPM, di sini, semalam.

Baginda bertitah, banyak lagi perkara boleh dilakukan UPM terutama aspek pembangunan dan penyelidikan yang memberi fokus kepada aplikasi harian, demi meningkatkan mutu kehidupan dan keselamatan terutama berkaitan keselamatan serta kesejahteraan makanan.

“Ini kerana, bagaimana pesat pun pembangunan sesebuah negara, sekiranya faktor keselamatan makanan dan kesejahteraan makanan tidak ditangani secara holistik, ia akan memberikan kesan yang mudarat dalam jangka masa panjang kepada masyarakat.

“UPM kini bukan sahaja mendominasi banyak bidang dan industri pengajian, malah beta berbangga dengan pencapaian di dalam disiplin seperti perubatan, kejuruteraan kimia, dan lain-lain.

“Namun, yang pasti, UPM masih terus kekal sebagai universiti diamanahkan untuk menjadi tunjang kepada ilmu dan amalan berkaitan pertanian. Malah, tetap terunggul di rantau ini dan tersohor di Malaysia dalam mengangkat imej juga prestij sektor pertanian,” titah baginda.

Baginda bertitah, menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Best Global Universities for Agricultural Sciences, UPM kini berada di tangga pertama Malaysia, kesembilan di Asia, serta di kedudukan ke-53 di dunia, dengan mengetepikan universiti-universiti terkemuka lain.

“Beta ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada Naib Canselor di atas pencapaian tersebut dan juga kepada semua naib-naib Canselor sebelum ini yang telah membentuk acuan kepada kejayaan ini.

“Beta juga berbangga dengan graduan UPM yang telah menyumbang di dalam pelbagai bidang, kerana apa yang penting adalah sumbangan kepada negara selepas tamat pengajian di samping tidak melupakan asal usul mereka.

“Beta juga berbangga dengan pencapaian ditunjukkan graduan UPM dalam bidang akademik, pentadbiran dan penyelidikan. Namun mereka harus ingat dari mana mereka bermula untuk mendapatkan segulung ijazah sehingga mampu mencapai kejayaan yang dikecapi sekarang,” titah baginda.


Pengarang :