BERITA UTAMASELANGOR

MB: Negara hilang ‘permata’

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan rasa sedih atas kehilangan permata dalam bidang keagamaan, Tan Sri Hassan Azhari.

Beliau menyifatkan, pemergian Allahyarham juga meninggalkan kesan di setiap jiwa rakyat Malaysia khususnya.

Katanya, atas perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Allahyarham dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam.

“Allahyarham merupakan guru agama kepada keluarga Istana termasuk Tuanku sejak zaman Nenda, bapa dan Tuanku sendiri.

“Atas jasa-jasa ini, Tuanku memberi perkenan dikebumikan di sini sesuai dengan sumbangannya kepada negara.

“Saya mewakili rakyat Selangor mengucapkan takziah atas pemergiaan Allahyarham. Semoga keluarga diberikan kesabaran menghadapi ujian dan semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham, di sini.

Amirudin berkata, sumbangan Allahyarham sebagai tokoh agama yang bermula ketika aktif berdakwah menerusi rancangan televisyen Muqadam tidak dapat dilupakan.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 9.40 pagi tadi di Makam DiRaja, Shah Alam.

DYMM Sultan Selangor, turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Allahyarham sebelum itu meninggal dunia pada pukul 5.07 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana menghidap kanser limfoma tahap empat.

Allahyarham juga merupakan bapa kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pelakon terkenal tanah air, Datuk Jalaluddin Hassan serta Bekas Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Dato’ Fuad Hassan.

 


Pengarang :