NASIONAL

TBGBTS dilancar bantu mangsa tsunami Sulawesi

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 5 OKT: Kerajaan meluluskan penubuhan Tabung Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi (TBGBTS) dalam menzahirkan inisiatif bantuan kemanusian dan bencana (HADR) untuk mangsa kejadian bencana alam, di Sulawesi, Indonesia.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Negara berkata, pihaknya bertindak selaku penyelaras tabung itu yang menggunakan nombor akaun Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

“Ia mula diaktifkan semalam dan tempoh operasinya adalah selama sebulan,” katanya dalam kenyataan.

Bagi mereka yang ingin menyumbang kepada TBGBTS, boleh menyalurkannya melalui no akaun: 16010000882-71-8 (Bank Muamalat).

“Cek boleh ditulis atas nama, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara dan untuk rekod, sila hantar bukti transaksi ke nombor 012-6519563/ 012-2344048,” katanya.

Pada 28 September lalu, dunia dikejutkan dengan siri gempa bumi melanda Sulawesi Tengah yang menyebabkan kerosakan bangunan dan kecederaan dalam kejadian dengan magnitud 7.4 Skala Richter.

Ia berpusat pada kedalaman 10 kilometer (km), kira-kira 27km di Timur Laut Donggala, pada jam 5.02 petang waktu tempatan mencetuskan tsunami membadai Pantai Talise, di Kota Palu.

Setakat ini, dilaporkan lebih 800 mangsa terkorban dan pihak berkuasa Indonesia dengan kerjasama pelbagai pihak berkaitan menjalankan misi menyelamat dan mencari mangsa hilang serta cedera.


Pengarang :