SELANGOR

Tengku Amir Shah ‘tangkas’ Panah Sakti

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 OKT: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan melakukan Demonstrasi Panah Sakti (Combat Archery) bersempena Hari Sukan Masjid Tengku Ampuan Jemaah (TAJ), di sini, hari ini.

Turut menyertai Tengku Amir Shah adalah pasukan istana dan kakitangan masjid serta ketua lajnah.

Terdahulu baginda yang berangkat tiba di masjid berkenaan, pada jam 8 pagi berkenan menyerahkan sumbangan masjid kepada tujuh maahad tahfiz dan fakir miskin memerlukan, di sekitar kawasan itu.

Seusai penyerahan sumbangan, baginda berkenan merasmikan Hari MasjidTAJ 2018 dan seterusnya melepaskan peserta acara ‘Run Walk Zikr’ yang disertai lebih 1,000 pengunjung.

Larian sejauh lima kilometer itu sebagai pendekatan merapatkan hubungan dengan Allah selain menyihatkan tubuh badan, rohani dan jasmani.

Setiap peserta yang menyertai larian sejauh lima kilometer turut dibekalkan tasbih digital secara percuma.

Selain itu, peserta tidak melepaskan peluang berswafoto dengan Tengku Amir Shah yang dilihat begitu ramah melayan rakyatnya.

Edisi kedua penganjuran program itu mendapat kerjasama hebat daripada Unit Dakwah PAID Petaling dan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sementara itu, Imam Besar Masjid TAJ, Burhanuddin Ahmad berkata, beliau amat berbesar hati dengan penerimaan masyarakat yang menyambut baik penganjuran program sedemikian.

“Saya berbangga dan berterima kasih kepada semua pihak yang turut serta dalam menjayakan program bertemakan ‘Jom Sihat’ ini.

“Pada masa sama, saya berharap pembabitan orang ramai akan dapat memperkukuhkan lagi tali silaturrahim sesama kita, sekali gus mampu mewujudkan masyarakat yang sihat.

“Apabila tubuh badan sihat, kita dapat membuat amal ibadat sebaiknya dan bekerja dengan lebih produktif,” katanya ketika ditemui.

Antara pengisian sepanjang program adalah demonstrasi silat tempur, memanah tradisional (free funshot) pertandingan silat olahraga dan pelbagai acara sukaneka.


Pengarang :