NASIONAL

Tubuh jawatankuasa siasatan elak kejadian bomba lemas berulang

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Siasatan bagi mengelak kejadian yang menimpa enam anggota bomba di Puchong berulang pada masa hadapan.

Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin berkata, jawatankuasa itu terdiri daripada pihak profesional, Badan Bukan Kerajaan (NGO), pegawai Kerajaan dan orang perseorangan yang memiliki pengetahuan dan berpengalaman luas dalam aktiviti air dan penyelamatan di air.

“Jawatankuasa ini berperanan mendapatkan maklumat, fakta, keterangan dan gambaran yang jelas serta tepat berkenaan insiden supaya siasatan profesional dan adil dilaksana bagi mengkaji kesesuaian Standard operating procedure (SOP), sama ada perlu ditambah baik atau terdapat keperluan mewujudkan SOP baharu untuk kegunaan JBPM agensi-agensi penyelamat yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dikemukakan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dalam sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Menurutnya, berdasarkan kepada penelitian awal KPKT, terdapat tiga aspek utama yang perlu diberi penekanan ke atas kerja-kerja menyelamat terutamanya melibatkan air deras dan pada waktu malam.

Aspek yang perlu diberikan tumpuan adalah penggunaan peralatan sesuai mengikut keadaan risiko, meningkatkan keupayaan dan pengetahuan anggota penyelamat dalam menilai risiko sesuatu insiden serta menyediakan latihan pengukuhan komprehensif dan berkala bagi pasukan penyelamat.

Dalam kejadian menyayat hati 3 Oktober lalu, seramai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) lemas ketika terlibat dalam dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki dipercayai terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana.


Pengarang :