SELANGOR

2,000 hadir Karnival Kerjaya OKU

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 NOV: Lebih 2,000 pengunjung hadir ke program Karnival Kerjaya Orang Kelainan Upaya (OKU) yang diadakan di Atrium SACC Mall, di sini, semalam.

Pegawai Jobs Malaysia Selangor, Mohammad Yusri Mustafa Kamal berkata, beliau memuji Kerajaan Negeri antara perintis yang sudi menganjurkan karnival khas buat golongan OKU.

“Golongan OKU turut memuji inisiatif Kerajaan Negeri, malah ada juga dalam kalangan mereka baru tahu jawatan itu sebenarnya wujud.

“Malah, majikan juga berpuas hati dengan calon yang hadir kerana mereka mempunyai keyakinan dan semangat untuk bekerja,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, golongan OKU yang malu atau tidak tahu skop kerja bersesuaian boleh mengunjungi Jobs Malaysia terdekat atau hubungi talian tertera di laman sesawang.

“Melihat kepada sambutan menggalakkan, kita akan cuba menguar-uarkan lagi peluang kerjaya kepada golongan ini, pada masa akan datang.

“Kepada golongan OKU, saya berharap kekurangan anda adalah pemangkin untuk berjaya, pada masa akan datang,” katanya.

Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor kerana berusaha menganjurkan karnival itu.

Terdahulu, Karnival Kerjaya OKU disempurnakan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Sebanyak 11 syarikat membuka ‘booth’ bertujuan menawarkan pekerjaan khusus buat OKU.


Pengarang :