SUKANKINI

ARRC 2019 lebih meriah dengan Kelas Asia SuperBike

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 NOV: Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) dijangka berlangsung lebih meriah dengan pengenalan kelas ASB1000cc dan pertambahan kepada tujuh pusingan perlumbaan untuk musim 2019.

Dengan adanya perlumbaan kelas ASB1000cc (Asia Superbike), ia menjadikan kejuaraan ARRC meningkat dari tiga kepada empat termasuk kelas sedia ada iaitu SuperSports 600cc, Asia Production 250cc dan Underbone 150cc selain mengekalkan format dua perlumbaan akhir digunakan sejak 2000.

Kejuaraan ARRC 2019 juga bertambah kepada tujuh pusingan dengan pengenalan litar baharu, Litar Antarabangsa Korea.

Saingan musim depan akan membuka tirai dengan sesi ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia, 5 dan 6 Mac tahun depan.

Pusingan 1 bermula di litar sama pada 8 hingga 10 Mac diikuti Pusingan 2 di Litar Bend Motorsport Park, Australia (25 – 28 April) dan Pusingan 3 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand, (31 Mei – 2 Jun).

Ia bersambung pada Pusingan 4 di Litar Suzuka, Jepun (28 0 30 Jun), Pusingan 5 di Litar Antarabangsa Korea, Korea Selatan (9 – 11 Ogos) dan Pusingan 6 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia (19 – 22 September).

Kejuaraan ARRC musim 2019 menutup tirai di Litar Antarabangsa Chang, Thailand pada 29 November hingga 1 Disember.


Pengarang :