PENDIDIKANSELANGOR

Latihan OSH elak kebakaran tahfiz

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 NOV: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) optimis latihan Keselamatan dan Kesihatan (OSH) terhadap pusat tahfiz dapat mengelak berlaku lagi kes kebakaran.

Pengurus MSOSH, Azwadi Mokhtar berkata, latihan OSH itu dapat memberi pengetahuan kepada penghuni pusat tahfiz cara menyelamatkan diri jika berlaku kejadian tidak diingini, di persekitaran mereka.

“MSOSH adalah badan bukan kerajaan yang sudah lama memperjuangkan isu keselamatan dan kesihatan, di banyak tempat.

“Sebelum ini, MSOSH pernah melaksanakan program seperti ini di beberapa pusat tahfiz, namun bukan secara besar-besaran. Hari ini, kita komited menjayakannya dengan pembabitan pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis ‘flag-off’ Malaysia Book Of Records: Occupational Safety and Health (OSH) in Tahfiz 2018, di Padang Kawad Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, semalam.

Terdahulu, Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) UiTM bekerjasama MSOSH, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan McDonalds’s Malaysia menganjurkan latihan OSH bagi 22 pusat tahfiz, sekitar Selangor.

Malaysia Book Of Records berjaya dilakar menerusi program terbesar membabitkan 1,217 pelajar tahfiz.

Selain itu, ia turut membabitkan kolaborasi antara pelajar FKE UiTM seramai 236 dan pelajar Universiti Selangor (10).

Antara pengisian program di pusat tahfiz terbabit adalah aktiviti latihan pengenalan elektrik, latihan pengungsian bangunan, pertolongan cemas dan keselamatan kanak-kanak.


Pengarang :