NASIONAL

Belanjawan 2019: Inisiatif bantu B40 dan M40

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Belanjawan 2019 disifatkan bertanggungjawab dan mampu menjana pertumbuhan mampan walaupun berhadapan kedudukan ekonomi ketat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu termasuk pengumuman beberapa inisiatif kerajaan bagi membantu golongan pertengahan (M40) dan bawahan (B40) dalam usaha meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Kita melihat beberapa inisiatif dan usaha disebutkan terutama dalam sektor pendidikan, perumahan dan kesihatan bagi membantu golongan B40 dan M40.

“Ini menunjukkan sebagai kerajaan peduli rakyat, kita akan memberikan perhatian khusus walaupun dalam keadaan fiskal yang amat ketat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di lobi Parlimen sejurus selesai pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Mengulas berkenaan beberapa inisiatif kerajaan yang turut menyentuh Selangor, beliau yang juga bekas Dato’ Menteri Besar berkata, perkara itu diharap dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dan pendapatan isi rumah.

“Kita lihat tumpuan itu bagi memastikan rakyat dalam kalangan B40 dan M40 diberi perhatian khusus kerana ia dapat menjana satu aktiviti ekonomi.

“Dengan penjanaan ekonomi ini, ia akan meningkatkan hasil negara dan isi rumah yang berkenaan selain dapat membantu mereka menghadapi cabaran ekonomi,” katanya.


Pengarang :