SELANGOR

Belanjawan’19: B40 nikmati 25 meter padu Air Percuma

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Golongan B40 berpeluang menikmati pemberian Program Air Percuma dari 20 meter padu sebulan kepada 25 meter padu sebulan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peningkatan pemberian itu akan dilaksanakan selepas Kerajaan Negeri membuat penjajaran semula peruntukan program itu dan memberi fokus diberi kepada golongan sasar.

Katanya, golongan B40 itu ditakrifkan sebagai mereka yang didaftarkan atau berada dalam data E-Kasih.

“Pada tahun 2008, di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), Kerajaan Negeri Selangor memberi air percuma sebanyak 20 meter padu.

“Program ini dicontohi oleh banyak kerajaan negeri lain kerana air telah terbukti program ini memberi impak positif kepada kehidupan rakyat.

“Pemberian air percuma yang dilaksanakan sekarang diberikan kepada semua lapisan masyarakat. Ini menunjukkan semua pihak menerima faedah hasil pemberian air percuma ini.

“Bagaimanapun, matlamat asal program air percuma ini adalah untuk membantu mengurangkan beban rakyat khususnya daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri yakin golongan B40 ini lebih berkeperluan dan lebih menghargai untuk bantuan air percuma ini.

“Mereka akan mendapat lebih manfaat dari pensejajaran semula air percuma nanti. Harapan kerajaan agar penjajaran ini bukan sahaja membantu mereka dalam kehidupan seharian tetapi membantu meringankan beban belanja bulanan dengan lebih berkesan,” katanya.

Amirudin berkata, selepas penjajaran dilakukan itu, sebanyak RM80 juta diperuntukkan dengan penjimatan sebanyak RM105.2 juta.

“Penjimatan ini akan dapat dikembalikan kepada rakyat melalui program pembangunan dan program mensejahterakan rakyat,” katanya.


Pengarang :