SELANGOR

Belanjawan’19: High Bio-Convertion Grass kurangkan kos makanan ternakan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri merancang untuk memulakan program penanaman rumput HBG (High Bio-Convertion Grass) bagi mengurangkan kos makanan ternakan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin berkata, HBP berkenaan merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai kadar protein yang tinggi.

“Kos makanan ternakan boleh mencecah sehingga 75 peratus daripada keseluruhan kos. Sekiranya program ini berjalan lancar kos makanan ternakan ruminan khususnya, boleh dikurangkan sehingga 30 peratus.

“Dengan penurunan kos makanan ternakan, diharapkan harga jualan daging ternakan dapat dikurangkan secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyediakan peruntukan berjumlah RM6.458 juta akan melaksanakan projek penternakan biri-biri pedaging atau Program Agrotek (Ternakan) menggunakan baka Black Belly Barbadose yang mempunyai tahap ketahanan rintangan penyakit yang tinggi selain mudah membiak.

Katanya, konsep pelaksanaan projek itu adalah membabitkan masyarakat luar bandar yang berminat untuk membela kambing tersebut dan dalam masa yang sama mereka akan diberikan tunjuk ajar oleh mentor berkemahiran dan berpengalaman.

“Selain itu, program bagi meningkatkan pengeluaran daging atau sumber protein terus diperkasakan di mana bantuan berbentuk peralatan dan ternakan turut disediakan di bawah Pembangunan Komoditi Ternakan Ruminan, Pembangunan Komoditi Ternakan Unggas Dan Bukan Unggas serta Pembangunan Industri Asas Ternak,” katanya.

Untuk rekod ketika ini, negara kita mengimport lebih kurang 20,000 tan metrik daging kambing sejuk beku atau 1.5 juta ekor kambing pada setiap tahun.

Dari jumlah itu, 90 peratus adalah merupakan daging biri-biri manakala 10 peratus lagi merupakan daging kambing (feral goat) yang diimport dari Australia.

 


Pengarang :