SELANGOR

Belanjawan’19: JAIS, INVEST bangun SELHAP

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor menjalin kerjasama dengan Invest Selangor bagi membangunkan ‘Selangor Halal Industry Action Plan’ (SELHAP).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu bagi menjana dan memartabatkan pembangunan industri halal, di negeri itu.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menjangkakan Selangor akan menjadi negeri pengeluar bahan ramuan halal untuk produk kosmetik dan farmaseutikal, dalam tempoh dua tahun lagi.

“Sehubungan itu, Festival Halal Selangor akan diadakan bermula tahun depan yang dianjurkan JAIS dan Invest Selangor untuk mempromosikan syarikat pemegang Sijil Pengesahan Halal Selangor, sekali gus memperkenalkan hasil produk industri dari negeri ini,” katanya.

Amirudin berkata, Halal Selangor mempunyai potensi besar untuk dimanfaat dan dijadikan sebagai sumber baharu yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi negeri melalui strategi memperkasakan ekosistem halal sedia ada, khususnya Pensijilan Halal Selangor.

Katanya, ia menjadi pemangkin bagi memacu ekonomi negeri ekoran potensi besarnya memanfaatkan perkembangan industri halal global dan serantau.

“Pertumbuhan ekonomi negeri melalui strategi memperkasakan ekosistem halal sedia ada khususnya Pensijilan Halal Negeri Selangor dapat membuka kepada pasaran yang besar.

“Ekosistem halal turut merangkumi pemantauan dan penguat kuasaan dan pewujudan gudang exhibit JAIS yang diyakini akan memperkasakan lagi industri itu,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan belanjawan berjumlah RM1.5 juta bagi meneruskan program Halal International Selangor, pada tahun depan.

Program Halal Technical Competent Person yang diwujudkan pada 2017 di bawah Invest Selangor berjaya melatih 380 orang dan 55 syarikat daripada segi latihan nilai tambah bagi mengukuhkan pemahaman dan kemahiran dalam bidang halal.

 


Pengarang :