SELANGOR

Belanjawan’19: Sasaran kadar defisit 17% munasabah & berdaya saing

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menjelaskan penyusutan Belanjawan 2019 hampir 17 peratus pada kadar sekitar RM200 juta berbanding 2018 bukan disebabkan halangan kewangan.

Katanya, belanjawan sebelum ini dibentangkan pada kadar defisit yang tinggi susulan langkah Kerajaan Negeri menampung perbelanjaan projek besar seperti pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang dan Semenyih.

“Ia bukan soal halangan. Dalam beberapa belanjawan sebelum ini kita telah menggunakan rizab (simpanan) agak banyak untuk projek-projek seperti Labohan Dagang 1 dan Semenyih. Ini dimulakan dengan kos sangat besar sekitar RM500 juta atau RM600 juta.

“Selepas projek-projek itu siap, projek pembangunan susulan yang saya umumkan juga tidak memerlukan dana sebegitu besar. Sebab itu kita dapat kurangkan defisit hingga sekitar RM300 juta berbanding RM800 juta pada tahun lepas,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2019 (Belanjawan’19) di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Katanya, kadar 17 peratus disifatkan munasabah dan berdaya saing berbanding sebelum ini selain kejayaan sebelum ini yang berjaya mengurangkan defisit malah pernah merekodkan lebihan pada tahun 2015 walaupun mensasarkan defisit tinggi pada peringkat awal.

“Tahun ini kita anggarkan defisit RM800 juta tetapi saya anggap kita akan mampu mengurangkan RM500 juta hingga RM600 juta daripada sasaran awal. Kalau berjaya memenuhi semua tuntutan dan kutipan, kita mampu mengurangkan sehingga defisit RM400 juta,” katanya.

Katanya, pengurangan kutipan hasil bukan sahaja berlaku di Selangor malah turut berlaku di tempat lain tetapi Kerajaan Negeri akan terus mencari sumber baru bagi meningkatkan hasil.


Pengarang :