SELANGOR

Belanjwan’19: JPS terima peruntukan RM89.2 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukkan RM89.2 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor untuk melaksanakan projek hakisan pantai dan tebatan banjir, pada 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pelaksanaan kerja membabitkan projek menaik taraf struktur dan ban di Pantai Batu Laut Kuala Langat dengan peruntukan RM1.8 juta dan di Tanjung Rhu (RM1 juta) serta kerja pembaikan tembok penahan ombak, di Pantai Dataran Morib (RM1 juta).

Katanya, projek 2018 yang dilaksanakan adalah Kawalan Hakisan dan Memperkukuh Benteng Pantai Blok 1, Blok 2 dan Coastal Belt (Fasa 2), daerah Sabak Bernam yang disiapkan pada 24 Julai 2018 dengan kos RM3.572 juta.

“Projek ini adalah sambungan daripada fasa 1 yang siap, pada 31 Oktober 2017.

“Isu ban pantai pecah ekoran daripada ombak dan air pasang besar menyebabkan limpahan air laut di kawasan politeknik Sabak Bernam, Sekolah Integrasi dan Pusat Latihan Akauntan Negara.

“Skop utama projek ini adalah pembinaan armour rock di sepanjang benteng pantai bagi mengurangkan kesan hakisan akibat daripada ombak,” katanya.

Amirudin berkata, projek sambungan perlu dibuat bagi mengatasi kejadian banjir sepenuhnya ekoran limpahan air laut walaupun projek awal berjaya mengurangkan berlakunya banjir.

Selain itu, sebanyak 34 projek fizikal masih di dalam pelaksanaan dengan 31 daripada projek itu adalah projek pencegahan banjir dengan skop kerja tebatan banjir, menaik taraf saliran dan pembinaan kolam takungan banjir.

“Jika projek ini disiapkan, ia dijangka dapat mengurangkan frekuensi kejadian banjir kilat yang sering berlaku di seluruh negeri.

“Bermula 2019, tiga projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan adalah Projek Tebatan Banjir Sg Buloh (Fasa 1) dengan kos siling RM50 juta, Projek Tebatan Banjir Sg Langat (Fasa 1) dengan kos siling RM40 juta dan Projek Tebatan Banjir di Lembangan Sungai Labu RM37.3 juta,” katanya.


Pengarang :