PBTSELANGOR

‘Big Girl Talk’ beri kesedaran kesihatan remaja

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 NOV: Program ‘Big Girl Talk’ peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Laman Tun Teja, Kompleks 3C, Subang Jaya, Sabtu lalu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 150 peserta terdiri daripada remaja wanita berusia 12 hingga 18 tahun.

Dianjurkan buat tahun ketiga sejak mula diperkenalkan pada 2016, program itu bertujuan mewujudkan kesedaran dan menyalurkan informasi berkaitan isu kesihatan seksual sebagai salah satu cara mendidik serta memperkasa keyakinan juga memupuk rasa hormat diri dalam kalangan remaja wanita.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, program itu dilihat dapat membantu remaja mengenali dan mempertingkatkan kesedaran berkenaan keselamatan diri mereka sendiri samaada ketika berada di rumah, tempat kerja atau tempat awam.

“Diharapkan, pelaksanaan program ini akan dapat menimbulkan kesedaran serta membantu remaja wanita membuat pilihan bijak untuk tidak membabitkan diri dalam gejala seksual sebelum perkahwinan.

“Melalui program ini, kita juga harap dapat melahirkan remaja cemerlang yang menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat madani yang gemilang,” katanya.

Katanya, penganjuran itu juga selaras Pelan Strategik MPSJ 2012 – 2030 (Pindaan 2013) di bawah Teras 5: Pembentukan Masyarakat Madani MPSJ.


Pengarang :