NASIONAL

Perbicaraan kes Najib di Mahkamah Kuala Lumpur

PUTRAJAYA, 27 NOV: Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak atas tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram akan diadakan di mahkamah, di Kuala Lumpur.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah berkata, bilik mahkamah di Istana Kehakiman, Putrajaya tidak direka untuk menjalankan perbicaraan.

“Kami tidak akan mengadakannya di sini (Putrajaya),” katanya ketika ditanya media berkenaan permohonan pihak pendakwaan untuk menjalankan prosiding perbicaraan bekas perdana menteri itu, di mahkamah Putrajaya, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, Peguam Negara juga sudah dimaklumkan berkenaan keputusan itu dan turut diminta menghubungi pihak lain yang terbabit.

Terdahulu, beliau ditemui selepas menghadiri upacara angkat sumpah dan taat setia empat hakim Mahkamah Persekutuan dan lima hakim Mahkamah Rayuan, semalam.

Pada 4 Oktober lalu, peguam terkenal Datuk Sulaiman Abdullah yang dilantik Peguam Negara untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa pihak pendakwaan memohon perpindahan venue perbicaraan.

Sulaiman berkata, permintaan itu dibuat bagi memastikan kelancaran perbicaraan kes, termasuk untuk mengelak kesesakan di kawasan mahkamah selain ramai saksi pendakwaan adalah dari kawasan Putrajaya.

Pada 4 Julai lalu, Najib, 65, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi menetapkan 12 hingga 28 Februari dan 4 Mac hingga 29 Mac tahun depan untuk perbicaraan.


Pengarang :