SELANGOR

Harga kelapa jatuh, FAMA setuju bantu petani

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 NOV: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyatakan persetujuan untuk membeli kelapa bagi mengatasi lambakan hasil pertanian itu, baru-baru ini.

EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata, FAMA bersetuju untuk membeli buah kelapa gred A dengan harga lantai berjumlah RM1.10.

“Langkah ini diambil setelah saya melihat sendiri adanya lambakan buah kelapa dan pihak saya telahpun mengadakan lawatan ke Sungai Air Tawar.

“Namun dari hasil siasatan mendapati lambakan buah kelapa tersebut ialah bagi gred C sahaja, sementara gred A telahpun berjaya dijual, bagaimanapun FAMA memaklumkan mereka boleh membeli kelapa gred C dengan harga lantai 70 sen,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Ahmad Mustain Othman ketika sesi soalan tambahan berkata, penduduk di kawasannya seringkali mempertikaikan keadaan harga kelapa yang semakin menurun sehingga mencecah 50 sen sebiji sahaja.

Mengulas lanjut, Izham berkata, beliau juga akan meminta petani membuat penanaman semula jenis kelapa dari baka yang lebih baik.

“Antara jenis kelapa yang baik termasuk Kelapa MATAG (Cocos Nucifera ‘Matag’) dan kelapa pandan.

“Kedua-dua jenis kelapa ini mendatangkan hasil lebih lumayan dan membantu petani mendapatkan pulangan lebih baik,” katanya.


Pengarang :