PELANCONGANSELANGOR

Hotel terapung: Superstar Gemini janji keseronokan berlayar

OLEH NORHAYATI UMOR

IBARAT terapi, alam semula jadi sentiasa menjanjikan ketenangan yang tersendiri.

Namun, percutian dalam bandar atau luar bandar mahupun ke negara luar mungkin menjadi kebiasaan.

Apa kata, anda beralih ke percutian ‘hotel terapung’ yang akan berlayar ke satu destinasi ke destinasi lain, pasti menyeronokkan!

Ya. Sudah tentu! Superstar Gemini salah satu kapal pelayaran bertaraf antarabangsa berpangkalan di Malaysia sangat sesuai buat mereka yang mengidamkan percutian unik dan menyeronokkan, lebih lagi di musim percutian sekolah akhir tahun ini dengan pakej yang berpatutan.

Kapal mewah ini merupakan salah satu kapal pelayaran popular Star Cruises dari yang memulakan pelayaran dari Pelabuhan Klang, Pulau Pinang, Langkawi serta Phuket, Thailand bermula 5 November hingga 28 April 2019.

Justeru, buat warga kota yang saban hari berdepan suasana bandar yang sibuk tentunya memerlukan terapi untuk berehat seketika daripada tekanan bekerja.

Pada pelayaran kali ini, Star Cruises menawarkan pengalaman percutian yang unik kepada pelancong dengan tawaran destinasi-destinasi baharu, serta pelayaran bertema seperti ‘Spider-Man : Into the Spider-Verse’.

Star Cruise berkerjasama dengan Sony Pictures untuk menyediakan aktiviti-aktiviti berinteraksi di kapal SuperStar Gemini seperti Spider-Man Scavenger Hunt, Meet & Greet, Cabaran Kecergasan dan Sambutan Hari Krismas sempena tayangan filem itu Disember ini.

Tunai hasrat kanak-kanak jadi Kapten

Lebih manis, sempena 25 tahun dalam industri pelayaran, Star Cruises berkesempatan bekerjasama dengan Make-A-Wish Malaysia untuk menunaikan hasrat seorang kanak-kanak untuk menjadi seorang ‘Kapten’ di atas kapal.

Impian seorang kanak-kanak, Adam Khalish Harfa Azhar, 6, yang mengidap leukemia sejak setahun lalu mahu menjadi kapten kapal dan pengalaman berlayar terlaksana.

Kapten SuperStar Gemini, Christian Westergren menyampaikan sebuah topi Kapten kepada Adam bagi pihak Star Cruises, di samping mengatur satu lawatan khas di atas kapal untuk Adam dengan keluarganya.

Naib Presiden Kanan Jualan Antarabangsa Genting Cruise Lines, Michael Goh berkata, pihaknya memberikan komitmen berterusan dalam membangunkan pelancongan pelayaran Malaysia, bersama negara jirannya dan seluruh Asia.

“Genting Cruise Lines akan meneruskan usaha untuk menyebarkan keseronokan berlayar serta menunaikan pelbagai impian untuk masyarakat.

“Sama ada impian seorang kanak-kanak untuk menjadi kapten atau mewujudkan lebih banyak peluang untuk lebih ramai keluarga menikmati percutian pelayaran bersama rakan-rakan dan orang kesayangan mereka,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Genting Cruise Lines terus menyokong pertumbuhan industri pelancongan kapal pelayaran di Malaysia dengan Star Cruises dan juga Dream Cruises, mengunjungi pelabuhan-pelabuhan utama di seluruh Malaysia sejak tahun 1994.

Beliau berkata, Kerajaan Malaysia menyokong sepenuhnya segala inisiatif yang dilakukan untuk mempromosikan pelancongan pelayaran di Malaysia.

“Pada masa ini, terdapat sebanyak 12 buah pelabuhan di dalam negeri yang menampung keperluan kedatangan kapal pelayaran.

“Pada 2017, Malaysia menerima sebanyak 924,885 penumpang kapal pelayaran dan 599 kapal pelayaran, peningkatan sebanyak 37.8 peratus dan 35.6 peratus berbanding dengan 682,063 penumpang kapal pelayaran dan 435 kapal pelayaran pada 2016.

“Oleh itu, Cruises terus komited dalam pengukuhan Malaysia sebagai hab pelayaran di rantau ini serta meraih peluang pertumbuhan baru dalam segmen fly-cruise yang amat berpotensi ini.

“Star Cruises meraih pengiktirafan ‘Travel Hall of Fame’ Travel Trade Gazette (TTG) sepanjang lebih sepuluh tahun. Setiap pelayaran kapal Star Cruises di seluruh Asia menawarkan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Produk & Perniagaan Tourism Selangor, Fadhirul Anuar Salleh berkata, pelayaran sulung kapal berkenaan dari Pelabuhan Klang itu akan meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri itu menerusi industri pelancongan pelayaran.

“Ketibaan Superstar Gemini ke Pelabuhan Klang adalah peluang terbaik yang diilhami oleh Superstar Gemini Cruises dengan bantuan banyak organisasi lain, saya yakin akan ada banyak pakej pelayaran menarik yang akan dikemukakan oleh pengendali perindustrian dan agen pelayaran, bahawa pasti menarik pelancong dari seluruh dunia untuk datang ke Selangor dan Malaysia.

“Negeri ini mencatatkan lebih 7.4 juta pelawat pada tahun 2017, dan setakat ini tahun ini, hingga Jun 2018 ia mencecah 3.3 juta pelawat dengan penurunan peratusan kepada 9.92 peratus berbanding tahun sebelumnya, ia dijangka akan meningkat suku tahun seterusnya,” katanya.

Sehubungan itu, Fadhirul berkata, Tourism Selangor akan bekerjasama rapat dengan badan bukan kerajaan, ejen pelancongan dan pihak pelabuhan supaya terus mempromosikan industri itu.

Banyak lagi boleh dinikmati dan diterokai di atas kapal SuperStar Gemini termasuk pelbagai pilihan makanan Asia dan antarabangsa yang memenangi pelbagai anugerah, persembahan dan hiburan yang hebat dan bertaraf dunia antaranya persembahan Magik dan Sarkas.

Pelbagai kemudahan rekreasi, sukan dan kecergasan, zon membeli-belah bebas cukai, atau hanya bersantai di spa atau dalam keselesaan kabin anda sendiri.

Star Cruises berjanji agar menyampaikan cuti pelayaran yang luar biasa dengan Asian hospitality yang merupakan tanda dagangan Star Cruises.

Pelancong yang ingin memulakan percutian pelayaran mereka dari Pelabuhan Klang di atas kapal Superstar Gemini boleh memilih jadual pelayaran 4hari/3malam ke Phuket dan Langkawi atau ke Phuket dan Pulau Pinang.

Selain itu, turut disediakan jadual pelayaran khas 5hari/4malam ke Phuket, Krabi dan Pulau Pinang iaitu berlepas dari 6 Februari 2019 atau jadual pelayaran 3hari/2malam ke Singapura pada 10 Februari 2019.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Pengarang :