Selangorkini
SELANGOR

ICERD: Itu hak dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Persekutuan pastinya memikirkan semua faktor sebelum memutuskan untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) seperti yang diumumkan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Pakatan Harapan (PAKATAN) dan parti KEADILAN berpegang teguh kepada dasar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan seperti yang diamalkan sebelum ini.

“Itu hak dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Sudah pastinya Kerajaan Persekutuan menyedari tentang perkara dan perkembangan semasa kerana ia berkait rapat dengan kedudukan Perlembagaan negara kita.

“Memang dasar PAKATAN dari awal dan parti KEADILAN mempertahankan asas-asas dalam Perlembagaan kita,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2019 (Belanjawan’19) di Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini,” menurut kenyataan itu.


Pengarang :