SELANGOR

Inovasi & kreativiti dalam pentadbiran pemangkin pelan pembangunan – MB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 NOV: Elemen inovasi dan kreativiti dalam pentadbiran menjadi senjata ampuh memastikan pelaksanaan pelan pembangunan dapat direalisasikan secara lebih berkesan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kedua-dua aspek terbabit turut menjadi kekuatan mendorong kestabilan ekonomi dan fiskal memberangsangkan, di Selangor.

Katanya, fasa perubahan dan perkembangan lebih pantas itu sememangnya diperlukan memandangkan Selangor adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

“Kita merangka kebijakan Smart Selangor ke arah globalisasi secara dinamik dan bersepadu iaitu dengan meningkatkan kesejahteraan, menjamin keselamatan, memperkasa kualiti pendidikan serta kemahiran berinovasi selain merayakan budaya, warisan, intelek juga menyegarkan jasmani.

“Pelaksanaan strategi ini harus dilaksanakan bersekali dan bergerak seiring dengan pembangunan inkrimental ekosistem digital kerana teknologi dunia kini berevolusi begitu pantas serta tanpa batasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Selangor 2018, di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie Diron; Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dalam majlis itu, sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Persada Inovasi Perkhidmatan Awam, Anugerah Inovasi, Anugerah Konvensyen Inovasi Peringkat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Anugerah Khas termasuk Anugerah Pengurusan Pejabat dan Pentadbiran Cemerlang serta Anugerah Konvensyen Inovasi Pejabat Tanah Galian Selangor.

Amirudin berkata, penganugerahan itu bukan sekadar mengiktiraf sumbangan kepada jabatan dan agensi kerajaan, bahkan semua penggiat inovasi, di Selangor.

Katanya, ia adalah inisiatif berterusan selaras dengan hasrat menjadikan warga perkhidmatan awam dan rakyat di Selangor berfikir secara kreatif serta inovatif.

“Diharapkan kejayaan dan pengiktirafan ini menyuntik semangat, azam serta tekad untuk terus menghasilkan idea lebih kreatif, khususnya menjelmakan penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus serta terbaik,” katanya.


Pengarang :