NASIONAL

Azmin mahu ahli parti kukuhkan perpaduan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 NOV: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyeru semua ahli parti supaya memberi tumpuan memperkukuhkan perpaduan parti selepas pemilihan berakhir.

Katanya, hal itu kerana perpaduan dalaman yang utuh menjadi benteng kepada ancaman luar.

Beliau turut memetik kata-kata bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill, yang mengingatkan semua bahawa apabila tiada musuh dalaman, musuh di luar tidak akan mampu mencederakan mereka.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada lebih 150,000 ahli Keadilan yang melaksanakan tanggungjawab demokrasi untuk memilih kepemimpinan parti baru-baru ini.

“Proses ini meletihkan kerana ia adalah satu proses pemilihan yang paling lama dalam dunia dan satu maraton.

“Pimpinan dan calon-calon yang menawarkan khidmat untuk berbakti kepada perjuangan bertebaran di seluruh pelusuk negara dari Sungai Petani ke Johor Bahru, Gombak ke Pandan dan merentasi Laut Cina Selatan untuk berkampung di Tawau, Pensiangan dan Julau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar di Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita 2018, di IDCC, di sini.

Hadir sama, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Ketua Wanita, Haniza Talha.

Mohamad Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, semangat yang ditunjukkan semua ahli parti perlu diteruskan bagi mengukuhkan perjuangan parti, lebih lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak tidak lama lagi.

“KEADILAN bukan sekadar mahu mengekalkan kemenangan parti itu di Ba’kelalan, Kerian dan Batu Lintang, tetapi juga menambah majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Saya ingin mengajak saudara saudari, selesai kongres mari kita berkampung semula di Sarawak kerana saya lihat rakyat Sarawak sedang menanti kehadiran KEADILAN untuk membawa perubahan dalam Pilihan Raya di negeri,” katanya.


Pengarang :