SELANGOR

Kursus Pasca Perkahwinan bakal ganti Program Insentif Perkahwinan Belia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 NOV: Kursus Pasca Perkahwinan bakal mengantikan Program Insentif Perkahwinan Belia yang diadakan sejak 2013, kata Dato’ Menteri Besar, Amiruddin Shari.

Katanya, penganjuran kursus berkenaan bagi mengatasi jumlah kes penceraian yang sangat membimbangkan di negeri ini.

Katanya, Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan kursus terbabit yang merangkumi isu pengurusan kewangan, emosi dan spiritual, penjagaan anak dan pengurusan keluarga.

“Kita akan menggunakan jumlah peruntukan yang digunakan untuk insentif perkahwinan belia bagi melaksanakan kursus kekeluargaan komprehensif kepada pasangan baru berkahwin.

“Mungkin pemberian elaun akan diberi kepada mereka yang datang ke kursus tersebut, namun ia belum diputuskan lebih lanjut,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Selangor 2019, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pelaksanaan program pembangunan kekeluargaan itu bakal memberi impak berterusan untuk jangka masa panjang kepada pasangan.

“Selain itu juga program-program pemantapan institusi kekeluargaan dengan kerjasama agensi lain seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dalam mengukuhkan modul serta kursus perkahwinan kekluargaan yang sedi ada,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, kursus itu juga akan dibuka kepada pasangan bukan Islam.

“Namun modulnya akan diaturkan oleh agensi yang berkaitan untuk dilaksanakan,” katanya.

Menerusi belanjawan selangor 2013, Selangor mengumumkan pemberian insentif perkahwinan kepada belia yang layak sebanyak RM200, namun bermula 1 Januari 2014 insentif itu dinaikkan RM500 seorang.

Inisiatif itu bertujuan mensejahterakan rumah tangga dan keluarga khususnya anak Selangor atau yang bermastautin lebih 10 tahun.


Pengarang :