NASIONAL

Malaysia-Indonesia komited tingkat kawalan keselamatan sempadan

JAKARTA, 15 NOV: Malaysia dan Indonesia komited meningkatkan kerjasama keselamatan dan sosio ekonomi di sepanjang kawasan sempadan kedua-dua negara.

Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Mesyuarat ke-41 Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Indonesia ( GBC MALINDO) yang berlangsung di Bali, hari ini bagi membincangkan langkah meningkatkan operasi bersama dan pertukaran maklumat untuk memberi keyakinan kepada penduduk di kawasan sempadan.

Mesyuarat tertutup itu dipengerusikan Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu dan turut dihadiri Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu serta pegawai-pegawai tertinggi pertahanan kedua-dua negara.

Turut dibincangkan adalah usaha-usaha untuk meningkatkan kerjasama dan memperkasa hubungan dua hala bagi mengelakkan kawasan sempadan bersama dieksploitasi, dan menangani apa-apa masalah keselamatan bersama.

Kedua-dua menteri berpuas hati terhadap kemajuan semua aktiviti dijalankan oleh Jawatankuasa Peringkat Tinggi, Jawatankuasa Kawalan Operasi Bersama, Jawatankuasa Latihan Bersama, Jawatankuasa Sosioekonomi, dan Jawatankuasa Kerjasama Polis kedua-dua negara.

GBC MALINDO merupakan satu landasan meningkatkan hubungan sedia ada Malaysia-Indonesia di samping menjadi faktor utama kelangsungan kestabilan, keamanan dan kemakmuran serantau.

Mesyuarat dua hala itu diadakan setiap tahun secara bergilir-gilir antara kedua-dua negara.

Mesyuarat GBC MALINDO ke-40 diadakan di Kuala Lumpur pada 28 September 2017.

– Bernama


Pengarang :