SUKANKINI

Cub Prix: Syarifuddin berpeluang julang gelaran Wira KBS

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 NOV: Md Syarifuddin Azman berpeluang bergelar juara keseluruhan WIRA KBS seandainya menjuarai perlumbaan pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, pada Sabtu dan Ahad ini.

Pelumba Idemitsu Kozi YAM Honda Racing itu kini mendahului kedudukan dengan 133 mata, terikat jumlah pungutan mata bersama Md Danial Syahmi, namun memiliki kelebihan jumlah kemenangan berbanding pencabarnya itu.

Selepas lapan pusingan, Syarifuddin memiliki lima kemenangan berbanding Danial (dua kemenangan).

Namun, Danial terlepas aksi di Jempol minggu ini akibat kecederaan menyaksikan peluang lebih terbuka kepada Syarifuddin untuk meraih kemenangan keenam berturut-tutut pada musim ini.

Satu-satunya pelumba yang mampu memberikan cabaran ialah Md Alif Ashraf Tahiruddin kini di kedudukan ketiga (112 mata) seandainya pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha itu mampu menjuarai perlumbaan minggu ini.

Syarifuddin berkata, di atas kertas ada kelebihan kepada dirinya, namun situasi berbeza jika di litar dan banyak faktor lain perlu diambil kira terutama sewaktu perlumbaan.

“Ketiadaan Danial juga bukan alasan untuk saya mengambil mudah saingan minggu ini dan secara peribadi, saya turut bersimpati dengan kecederaan dialaminya.

“Persaingan di antara kami berdua cukup menarik dan sengit sepanjang musim ini, saya doakan dia cepat pulih dan kembali ke litar semula,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin rakan sepasukan Danial juga mampu memberikan saingan kepadanya begitu juga dengan Alif yang sentiasa konsisten berada di kelompok depan.

“Apa yang penting, saya perlu cukup bersedia dan pasukan juga pastinya akan menyediakan jentera terbaik.

“Berbanding memikirkan gelaran keseluruhan, saya lebih suka untuk fokus kepada perlumbaan sahaja,” katanya.


Pengarang :