EKONOMINASIONAL

Malaysia tertinggi lima kali berturut dalam Indikator Ekonomi Islam

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Malaysia mencatatkan kedudukan tertinggi buat kali kelima berturut dalam kalangan negara majoriti Islam bagi ekosistem ekonomi berlandaskan Islam.

Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, dalam Indikator Ekonomi Islam itu, negara memperolehi skor sebanyak 127 mata meninggalkan pesaing terdekatnya, Emiriah Arab Bersatu.

“Indikator Ekonomi Islam merupakan suatu kayu ukur bagi pihak industri merebut peluang dan memposisikan diri untuk turut serta di dalam industri halal global yang bernilai trilion dollar.

“Indikator tersebut mengukur kekuatan ekonomi Islam merentasi 73 buah negara, yang antara lainnya menilai faktor penawaran dan permintaan, kesungguhan pihak kerajaan serta kesedaran dan konsiderasi sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Persidangan Persidangan Panel Pengesahan Halal Malaysia 2018 di Hotel Concorde di sini, malam tadi.

Mohd Amin berkata, secara keseluruhannya perbelanjaan umat Islam daripada Negara-Negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diunjurkan berkembang kepada 3 trillion dolar Amerika pada 2023 berbanding 2.1 trilion dolar pada 2017.

Katanya, ini jelas menunjukkan potensi pasaran dan kuasa beli di kalangan negara Muslim semakin bertambah.

Katanya lagi, daripada jumlah itu, 1.3 trilion dolar dibelanjakan ke atas produk makanan dan minuman pada 2017 dan menjelang 2023 jumlah tersebut dijangkakan akan menjangkau 1.9 trilion dolar iaitu peningkatan sebanyak 6.1 peratus.

“Produk farmaseutikal halal pula dijangkakan melonjak daripada 87 billion dolar kepada 131 bilion dolar pada 2023, manakala produk kosmetik halal diunjurkan akan berlakunya pertambahan dagangan sebanyak 90 bilion dolar daripada 61 bilion dolar yang dicatatkan pada 2017,” katanya.


Pengarang :