Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
PBTSELANGOR

Jangan guna orang tengah perbaharui lesen

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG, 23 NOV: Peniaga diingat tidak menggunakan orang tengah jika ingin memohon atau memperbaharui lesen perniagaan masing-masing.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata, ia ekoran pihaknya mendapati ada peniaga ditipu individu tidak bertanggungjawab apabila dijanjikan lesen perniagaan.

“Saya tidak mahu kes sebegini berlaku lagi, peniaga kecil diberi harapan palsu sehingga menghabiskan wang lebih banyak melalui orang tengah, sedangkan sebenarnya permohonan atau pembaharuan lesen ini begitu mudah untuk dipohon peniaga itu sendiri.

“MPSJ menyediakan pelbagai saluran termasuk dalam talian dan perkhidmatan di kaunter yang membolehkan kakitangan kami memberikan nasihat,” katanya selepas Majlis Mesyuarat Penuh MPSJ, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, Jabatan Lesen MPSJ sudah turun padang dan mengadakan kempen kesedaran dalam kalangan peniaga.

“Diingatkan sekali lagi, peniaga perlu ikut peraturan ditetapkan dan tiada jalan singkat untuk mendapatkan lesen.

“Peniaga juga tidak boleh menggunakan ahli majlis atau kakitangan MPSJ yang tidak berkaitan untuk memperbaharui lesen kerana saya tidak mahu ia akan menjejaskan integriti mereka,” katanya.

 

 


Pengarang :