NASIONAL

PDRM kutip lebih RM3 juta bayaran saman

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Jabatan Siasatan dan Penguat kuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT) mengutip lebih RM3 juta bayaran saman selepas membuat tawaran diskaun sehingga 50 peratus sempena Deepavali, yang berakhir semalam.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, sejumlah 32,462 saman diselesaikan pesalah trafik antara 7 dan 9 November lalu.

Beliau berkata, pihaknya berpuas hati apabila pesalah trafik mengambil peluang menyelesaikan bayaran saman dalam tempoh tiga hari yang ditawarkan.

“Kaunter kami agak terhad hingga menyebabkan pesalah trafik terpaksa mengambil masa lama dan perkara itu akan kami perbaiki, pada masa depan.

“Saya ingin menasihati pesalah trafik supaya segera membayar saman kerana polis mempunyai dasar ‘semakin lama saman, semakin banyak yang perlu dibayar’,” katanya kepada BHOnline.

Diskaun 50 peratus itu tidak termasuk saman membabitkan kemalangan yang berlaku tahun ini, kes mahkamah yang masih berjalan, saman yang dikeluarkan ketika Ops Selamat, saman dengan status mahkamah dan saman kenderaan berat.


Pengarang :