PELANCONGANSELANGOR

Pelancongan kesihatan terus dipertingkat

OLEH SHEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 NOV: Pelancongan kesihatan di Selangor akan terus dipertingkatkan bagi menarik lebih ramai pelancong, ke negeri itu.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, sejumlah 30 hospital kerajaan dan swasta sekitar Selangor berpotensi untuk menjadi pakar penjagaan kesihatan antarabangsa di peringkat rantau serta ASEAN.

“Hospital turut menawarkan fasiliti mengikut kriteria untuk menerima pelancong bagi mendapatkan rawatan.

“Justeru, beberapa pakej dan sesi lawatan turut ditawarkan kepada pesakit serta keluarga sebagai memenuhi keperluan melawat beberapa tempat menarik di bandar berdekatan antaranya Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam,” katanya ketika membentangkan sesi soal jawab di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Katanya, salah sebuah hospital di Selangor diiktiraf di peringkat dunia kerana sudah merawat hampir 500,000 pesakit dalam tempoh dua tahun dan 30,000 pesakit berkenaan dari 130 negara.

“Hal ini jelas terbukti bahawa pesakit antarabangsa memilih Selangor untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, usaha ini akan terus dipergiatkan terutama untuk menambah pesakit antarabangsa bagi mendapatkan rawatan, di sini,” katanya.


Pengarang :