SELANGOR

Sedia lokasi khas bagi taska

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 NOV: Kerajaan Persekutuan disaran mewujudkan akta supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai kuasa meminta pemaju menempatkan lokasi khas bagi operasi taska, pada setiap projek pembangunan baharu.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, perkara itu boleh dibincangkan di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menggalakkan lebih banyak penubuhan taska dimasukkan dalam kebenaran merancang.

“Perkara ini sudah lama dibincangkan dan secara umum, taska yang ingin didirikan perlu memenuhi beebrapa syarat tertentu digariskan PBT. Sekarang jika ingin menubuhkan taska, perlukan kebenaran penduduk setempat, jika tidak setuju tidak boleh buat.

“Kalau boleh, kita pinda satu undang-undang sebab jika hendak tunggu jumlah yang bersetuju, belum tentu dapat, malah sebelum ini ada lesen pengusaha taska ditarik kerana mendapat rungutan penduduk.

“Untuk bangunan baharu, ia belum menjadi undang-undang, justeru kita minta ia dimasukkan dalam kebenaran merancang. Untuk bangunan baharu, hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang sudah memulakan projek perintis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Rejuventasi Taska Tempat Kerja Peringkat Negeri 2018, di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Majlis taklimat yang disertai lebih 300 agensi Persekutuan dan negeri itu antaranya membincangkan hala tuju penubuhan taska baharu, di bangunan kerajaan dan swasta.

Setakat ini, terdapat 55 jabatan kerajaan sektor awam dan 20 swatsa mempunyai taska sendiri di Selangor yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Selain itu, subsidi RM180 diberikan Kerajaan Persekutuan bagi seorang anak berusia empat tahun ke bawah buat ibu bapa berpendapatan RM5,000 ke bawah, manakala RM100 dari Kerajaan Negeri di bawah Inisiatif Peduli Rakyat Si Kembar.


Pengarang :