NASIONAL

SIRIM lancar Gulf Conformity Marking Scheme

OLEH SHEEDA FATHIL

PUTRAJAYA, 16 NOV: SIRIM QAS International melancarkan Gulf Conformity Marking Scheme, iaitu servis yang membolehkan produk Malaysia menembusi pasaran negara teluk.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming berkata, servis itu akan membantu pengilang mendapatkan GCC Standard Organization (G Mark).

Katnya, SIRIM QAS International diiktiraf GCC Standardization Organization (GSO) sebagai Badan Notifikasi dan berkuasa dalam menyediakan perkhidmatan pensijilan produk di bawah sistem tanda pematuhan teluk bagi peralatan elektrik bervoltan rendah.

“Pengilang yang berhasrat mahu mengeskport barangan elektrik ke negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) seperti Emiriah Arab Bersatu, Oman, Qatar, Kuwait, Bharain, Yaman dan Arab Saudi perlu mendapatkan G Mark.

“Ia bagi memastikan produk mematuhi piawaian dan peraturan yang ditetapkan GSO.

“Produk elektrik yang mempunyai G Mark menandakan ia sudah dinilai badan notifikasi seperti SIRIM QAS International dan mematuhi keperluan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis SIRIM Industri di Hotel Marriot, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali dan Presiden serta Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi Dasar Industri 4.0 Nasional (Industry4wrd) membuktikan MITI komited menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama dalam industri berteknologi tinggi.

“Saya yakin SIRIM akan menjadi agensi utama yang berupaya memacu industri ke arah sasaran Industry4wrd melalui pelbagai pelaksanaan program seperti SIRIM-Fraunhofer.

“Ia adalah program yang akan membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana tempatan untuk menggunakan proses dan pengurusan teknologi dalam meningkatkan produktiviti serta daya saing,” katanya.

Pada majlis sama, SIRIM dan Persatuan Pengeluar Malaysia membuat pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman bagi perkongsian kepakaran dan kerjasama dalam bidang membabitkan aktiviti Industri 4.0: Pengilangan Pintar dan Pembangunan Standard Perindustrian.


Pengarang :