BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor sempurnakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 NOV: Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 1440H/2018M berlangsung penuh bermakna apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menyempurnakan sambutan terbabit.

Keberangkatan baginda diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Sambutan yang diadakan di Stadium Malawati Shah Alam itu, diisi dengan bacaan ayat suci Al-Quran, selawat nabi, persembahan multimedia, persembahan nasyid dan tazkirah khas Maulidur Rasul.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Surau Terbaik Negeri Selangor, Khatib Terbaik Negeri Selangor, Sepanduk Perarakan Terbaik dan Kontinjen Perarakan Terbaik.

Bagi kategori Surau Terbaik Negeri Selangor dimenangi oleh Surau Al-Ikhwan, Taman Samudra Batu Caves yang menerima sumbangan berjumlah RM10,000, sijil penghargaan dan piala.

Manakala tempat kedua disandang oleh Surau Al-Hijrah, Kota Warisan Sepang dengan membawa pulang wang tunai RM7,000 dan ketiga Surau Al-Kauthar Seksyen 4, Bandar Baru Bangi membawa pulang hadiah RM5,000.

Pertandingan Khatib Terbaik pula dimenangi Mohd Faisal Mohd Noor dari Masjid Bandar Tun Hussein Onn dengan membawa hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 dan sijil penghargaan.

Mohd Faizan Taajud dari Masjid Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula memenangi tempat kedua dan Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi dari Masjid Al-Falah di tempat ketiga dengan masing-masing membawa hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 dan RM1,000.


Pengarang :