NASIONALPENDIDIKAN

UPSR lewat punca keputusan umum ketika cuti sekolah

PUTRAJAYA, 22 NOV: Kelewatan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR), pada tahun ini ekoran peperiksaan itu dilaksanakan hampir dua minggu lewat, berbanding tahun sebelumnya.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum kerisauan dibangkitkan ibu bapa, iaitu keputusan UPSR akan dikeluarkan semasa cuti persekolahan.

Namun, menurut kementerian itu, Lembaga Peperiksaan (LP) sebelum ini juga pernah mengeluarkan keputusan UPSR semasa cuti persekolahan.

“Kelewatan pelaksanaan peperiksaan kali ini menyebabkan kelewatan pemeriksaan skrip jawapan peperiksaan.

“LP juga perlu mematuhi prosedur penjaminan kualiti ditetapkan bagi memastikan ketepatan keputusan yang akan dikeluarkan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata, peperiksaan UPSR 2018 lewat diadakan kerana terdapat beberapa cuti umum, pada awal dan pertengahan September.

Ia membabitkan 31 Ogos bagi Hari Kebangsaan; 9 hingga 10 September bagi Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong; 11 September bagi Awal Muharam dan 16 hingga 17 September bagi Hari Malaysia.

“Sehubungan itu, kementerian memohon pelajar Tahun 6 mendapatkan PPSR dan keputusan UPSR, pada 29 November (Khamis) ini bermula jam 10 pagi, di sekolah masing-masing,” katanya.


Pengarang :