NASIONAL

Wanita buat laporan palsu hilang RM100,000 ditahan

KUCHING, 22 NOV: Polis menahan seorang wanita kerana disyaki membuat laporan palsu mendakwa kononnya wang RM100,000 milik bapa saudaranya hilang dicuri di tandas sebuah stesen minyak, di Petra Jaya, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek berkata, wanita berusia 30 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Gita, pada hari kejadian terbabit didakwa berlaku.

“Hasil siasatan lanjut, suspek bagaimanapun mengaku wang itu bukannya hilang dicuri tetapi digunakannya untuk membuka satu perniagaan.

“Suspek adalah orang kepercayaan bapa saudaranya dengan beliau dipertanggungjawabkan untuk menguruskan urusan membabitkan kewangan. Difahamkan wang itu adalah hasil jualan rumah,” katanya dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2, 000 atau keduanya, jika disabit kesalahan.


Pengarang :