SELANGOR

Wujud e-daftar sebelum laksana e-voting

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 NOV: Sistem e-daftar bagi mengenal pasti pemilih daftar perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum undian dalam talian (e-voting) dikuat kuasakan, di negara ini.

Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Arifin Mohd Munir berkata, hal itu kerana terdapat 3.4 juta rakyat Malaysia masih belum mendaftar sebagai pemilih.

“Melalui tinjauan IDE sejak 2016, pengundi muda khususnya bawah 30 tahun lebih cenderung menggunakan fasiliti dalam talian untuk membuat pendaftaran.

“Mereka tidak gemar beratur di pejabat pos atau mencari kaunter mendaftarkan diri sebagai pengundi, justeru wajar dan tiba masanya Suruhanjaya Pilihan Raya mencari kaedah terbaik bagi melaksanakan e-daftar pemilih,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas berkenaan pelaksanaan e-voting oleh KEADILAN, beliau berkata, langkah diambil parti itu disifatkan percubaan berani keluar dari tempurung dalam memperkasakan sistem demokrasi, di Malaysia.

Katanya, walaupun terdapat pelbagai kelemahan yang tidak boleh dinafikan memandangkan sistem terbabit dibangunkan kurang dari empat bulan, namun ia masih boleh diperbaiki.

“Dalam gesaan untuk sistem pilihan raya lebih telus, e-voting adalah pilihan paling pantas dan efisien, namun ia harus bebas daripada manipulasi dan faktor manusiawi perlu menjadi unsur yang ditimbang tara sebelum pelaksanaan secara menyeluruh,” katanya.

Katanya, untuk menjayakan sistem e-voting, kajian menyeluruh diperlukan membabitkan konsultasi pelbagai pihak dan tidak hanya bergantung kepada ‘programmer’ semata-mata.

Katanya, pihak pembangun perisian harus bekerjasama dengan penyelidik dan ahli politik lapangan yang memahami dengan jelas perjalanan politik serta proses demokrasi.

“Sinergi antara pembuat polisi, pakar penyelidik, pembangun perisian, masyarakat sivil dan pemain politik perlu untuk memastikan wujudnya sistem yang efektif serta berkesan,” katanya.


Pengarang :