SELANGOR

JBS Selangor anjur ‘Program Anak Muda Cinta Malaysia 2018’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 NOV: Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Selangor mengambil inisiatif menganjurkan program Jelajah Anak Muda Cinta Malaysia 2018, di Institut Kemahiran Belia Negara Peretak, Kuala Kubu Bharu, di sini, pada 10 November ini.

Cawangan Pembangunan Kepimpinan Sahsiah & Kemahiran JBS, Mohd Khairi Shah berkata, program yang dijangka bermula seawal jam 8 pagi hingga 11 malam itu membawa tema Pencegahan Ekstremisme Dalam Kalangan Belia.

Katanya, program itu adalah sebahagian daripada usaha mencorak hala tuju belia khususnya di Selangor, sekali gus mengurangkan pembabitan anak muda dalam kegiatan ekstremisme.

“Kita mahu meningkatkan pengetahuan dan pemahaman belia serta masyarakat berhubung isu ekstremisme termasuk konflik timur tengah selain mengetengahkan konsep Islam agama yang syumul.

“Pada masa sama, kita mahu melihat peranan belia dan masyarakat dalam mengatasi masalah ekstremisme, selain mendapatkan maklum balas daripada mereka berkenaan isu berkenaan serta pergolakan di Timur Tengah,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik bakal disajikan buat pengunjung termasuk ‘Aerofit’, pertandingan fotografi, pertandingan karaoke, aktiviti sukan, citra ibadah, pertandingan mewarna, ‘Soopa Doopa’, food truck dan pameran agensi kerajaan.

Pengunjung turut berpeluang menghadiri sesi forum bersama Ustaz Kapten (B) Mohd Asri Khalek yang mengupas tajuk ‘Islam Agama Syumul’, selain penampilan khas daripada ‘Mat Dan’.


Pengarang :