SELANGOR

Azmizam gembira jalan Telok Gong bakal dinaik taraf

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 4 DIS: Keputusan Kerajaan Negeri untuk menaik taraf jalan di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang disambut baik Ahli Dewan Negerinya, Azmizam Zaman Huri.

Beliau berkata, peruntukan diumumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada pembentangan Belanjawan Selangor 2019 baru-baru ini, sememangnya berita gembira khusus kepada penduduk, di kawasan terbabit.

“Saya bersyukur kerana perkara ini sudah lama diusulkan supaya ia mendapat perhatian Kerajaan Negeri dan akhirnya bakal menjadi realiti.

“Keputusan Kerajaan Negeri mahu menaik taraf jalan terbabit bakal mengurangkan kesesakan yang sering berlaku terutama apabila tiba waktu puncak,” katanya kepada SelangorKini.

Pada pembentangan belanjawan lalu, Amirudin mengumumkan mahu menaik taraf Jalan Negeri B 148 Jalan Telok Gong dari Persimpangan Glenmarie Cove sehingga ke Persimpangan Jalan Ikan Tenggiri.

Kerja menaik taraf itu membabitkan peruntukan RM10 juta.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM194 juta kepada Jabatan Kerja Raya, pada 2019 untuk kerja pembinaan dan naik taraf jalan, jambatan serta jejantas.


Pengarang :