EKONOMI

Dagangan berhati-hati niaga hadapan MSM minggu depan

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan berhati-hati minggu depan berikutan peserta pasaran bimbang mengenai simpanan stok yang meningkat, kata peniaga.

Beliau berkata pedagang menunggu penjelasan lanjut daripada data stok pada November yang akan dikeluarkan pada Isnin.

“Kekurangan pemangkin pasaran yang baharu akan terus mempengaruhi sentimen pasaran. Kami mengharapkan data yang dapat menyokong harga,” katanya.

Bagaimanapun, laporan terkini daripada CIMB Equities Research menunjukkan stok pada akhir bulan mungkin mencatatkan paras yang tinggi melebihi 3.06 juta tan, manakala eksport dianggarkan merosot 11.9 peratus bulan ke bulan pada November 2018.

Sementara itu, Maybank Kim Eng Research, dalam notanya, berkata pasaran dijangka tidak begitu baik pada suku keempat 2018 berikutan harga MSM diniagakan di bawah RM2,000 satu tan sejak awal November.

“Simpanan stok minyak sawit yang tinggi perlu dikeluarkan dengan segera untuk menaikkan harga MSM. Nasib yang lebih baik menjelang akhir suku pertama 2019 apabila pengeluaran industri menjadi rendah,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, harga niaga hadapan MSM diniagakan bercampur-campur.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, Disember 2018 susut RM79 kepada RM1,793 satu tan, Januari 2019 merosot RM54 kepada RM1,916 satu tan, Februari 2019 turun RM42 kepada RM1,998 satu tan, dan Mac 2019 berkurangan RM23 kepada RM2,084 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 204,825 lot daripada 227,037 lot pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka naik kepada 278,911 kontrak daripada 272,485 kontrak minggu lepas.

Di pasaran fizikal, Disember Selatan susut RM60 kepada RM1,800 satu tan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :