SELANGOR

PeBT baharu perlu laksana tanggungjawab sepenuh jiwa

OLEH NORHAYATI UMOR

RAWANG, 8 DIS: Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang bakal dilantik diharapkan mampu memberikan sepenuh ‘jiwa’ dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Pengerusi Induk PeBT MPS 2016-2018 Muadzam Mohd Shariff berkata, PeBT merupakan platform terbaik untuk menarik golongan muda sekali gus, melahirkan belia yang berwibawa dan bermatlamat.

“Saya juga berkeyakinan PeBT pada tahun hadapan mampu meneruskan kecemerlangan PeBT sesi 2016 – 2018.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai – pegawai belia di peringkat PBT dan Negeri, lantikan Pengerusi PeBT pada kali ini percalonan yang luar biasa.

“Ini bermakna Penggerak Belia Tempatan (PeBT) adalah platform bagi menerajui kepimpinan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi PeBT dan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga MPS, di Setia Eco Templer Park, di sini.

Pada masa sama, Muadzam berkata, PeBT MPS bagi tempoh itu berjaya menunjukkan tahap kecemerlangan yang cukup tinggi selama PeBT dilaksanakan.

Justeru, katanya Malam Apresiasi itu adalah satu tanda penghormatan kepada seluruh Pengerusi PeBT bagi sesi 2016 – 2018.

“Kami melaksanakan amanah dan tanggungjawab selama dua tahun yang memainkan peranan menggerakkan belia di peringkat akar umbi.

“Kami bergerak satu pasukan yang mantap dengan berprinsipkan muafakat dan berkerjasama.

“Kami juga berjaya melaksanakan pelbagai program yang boleh dikatakan mampu di angkat ke peringkat negeri sebagai modul untuk menggerakan belia di setiap daerah,” katanya.

Beliau turut menyambut baik gugusan rakyat bahagia negeri sejahtera yang diumumkan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada pembentangan Belanjawan Negeri 2019.

“Generasi Muda pasti dapat diperkakasan meneruskan pelan-pelan tindakan yang akan dipantau oleh Jawatankuasa Pemberdayaan Generasi Muda pada tahun hadapan. Anak muda adalah harapan bangsa dan negara,” katanya.


Pengarang :