SELANGOR

Kumpulan belia jalani latihan intensif sebelum tawan Gunung Kinabalu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 31 DIS: Seiring dengan matlamat mendekati dan membudayakan anak muda, seramai 15 belia dan beliawanis Paya Jaras bakal dibawa menawan puncak Kinabalu yang dijangka, pada Februari tahun hadapan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, demi melaksanakan misi mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara itu, beliau bersama kumpulan belia sedang giat menjalani latihan intensif bagi memastikan stamina dan kecergasan berada pada tahap terbaik.

“Sekarang kita sedang menjalani proses latihan bersama peserta yang akan turut serta menjayakan ekspedisi ini dan lokasi yang dipilih itu juga sudah ditempah sejak enam bulan lalu.

“Ini termasuk mempelajari kemahiran pendakian selamat dengan mendaki beberapa lokasi seperti Gunung Angsi, Gunung Kutu, Gunung Datuk dan terbaharu Gunung Ledang, pada Khamis lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Festival Belia Ekstrem Antarabangsa Selangor 2018 (#SIYEF2018), di Taman Ekstrem Gua Damai, di sini, semalam.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin yang juga EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan berkata, aktiviti pendakian seumpama itu sememangnya memberi ketenangan sambil berpeluang menikmati keindahan khazanah alam semula jadi.

“Ia juga memberi kesan positif kepada kekuatan fizikal dan mental kita yang mana akhirnya melahirkan modal insan berjiwa kental dan cekal.

“Tambahan pula, saya yakin bahawa aktiviti sukan yang lebih ekstrem seperti ‘hiking’ ini semakin mendapat sambutan menggalakkan khasnya belia dan beliawanis.


Pengarang :