BERITA UTAMASELANGOR

SELGATE-PROPADU bina Hospital Bangi bernilai RM267.6 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 DIS: Masyarakat di Bangi bakal menerima kemudahan hospital serba moden bernilai RM267.6 juta berikutan termeterainya perjanjian usaha sama antara anak syarikat milikan penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Selgate Corporation Sdn Bhd (SELGATE) dengan Propadu Ingineering Sdn Bhd (PROPADU).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hospital serba moden itu mampu memuatkan 223 buah katil dan dilengkapi peralatan medikal terkini dengan khidmat rawatan multi-displin di bidang obstetrik dan genekologi, pediatrik, ortopedik, perubatan am dan pembedahan am.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk melibatkan diri dalam sektor kesihatan yang diumumkan pada 2015 lalu.

“Bidang perubatan seperti ini akan membantu meningkatkan ekonomi negeri apabila menggalakkan sektor pelancongan perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebaik selesai Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Bagi Pembangunan Hospital Di Antara SELGATE Corporation dan Propadu Engineering di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SELGATE, Noor Hisham Mohd Ghout pula berkata projek ini bakal dibangunkan di atas tanah milik PKNS.

Katanya, SELGATE turut menyasarkan pembangunan tiga buah hospital menjelang 2021/2022 dengan projek pertama dibangunkan di Rawang yang sedang rancak dibangunkan.

“Hospital di Rawang ini dijangka memulakan operasinya pada suku pertama 2020,” katanya.

Noor Hisham berkata, SELGATE dijangka menjadi pemain utama dalam sektor penjagaan kesihatan di Lembah Klang menerusi rangkaian hospital ‘no-frills’ dengan memfokuskan pasaran kelas menengah serta menyampaikan khidmat rawatan berkualiti pada harga berpatutan.


Pengarang :