SELANGOR

Lebih 200 kakitangan SUK zumba 2 jam tanpa henti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 DIS: Dengan semangat mendedahkan orang ramai kepentingan senaman antara elemen terbaik penjagaan kesihatan, lebih 200 kakitangan Setiausaha Kerajaan Negeri dan orang awam menyertai senaman zumba selama dua jam tanpa henti.

Acara senaman zumba itu diadakan sempena Program Kit SUKSEL 2.0 ‘Kuminiti Cergas dan Sejahtera’ sempena Ambang Tahun Baru 2019, di Dataran Kemerdekaan, di sini.

EXCO Pembangunan Genarasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya budaya bersukan dalam kalangan rakyat khususnya penjawat awam.

Katanya, Kerajaan Negeri berharap melalui sukan, ia dapat mewujudkan komuniti cergas dan aktif serta memupuk semangat perpaduan pelbagai kaum dan budaya.

“Saya dimaklumkan FIT SUKSEL dilaksanakan pada Oktober lalu sempena Sambutan Hari Sukan Negara.

“Gerakan FIT SUKSEL ini mengajak setiap lapisan masyarakat untuk bersukan dan sentiasa cergas bagi mendepani cabaran kehidupan yang mencabar,” katanya ketika ditemui.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor dan Setiausaha Kelab SUK Selangor, Muhamad Faiz Mohamed Yusof.

Pada masa sama, Khairuddin berkata, program seumpamanya membabitkan penjawat awam itu wajar dijadikan contoh kepada jabatan-jabatan lain.

“Saya juga mencadangkan senaman zumba ini dijadikan acara terbesar oleh FIT SUKSEL sekali gus, mencipta ‘Malaysia Books Of Record’ pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, beberapa anak syarikat Kerajaan Negeri melaksanakan program pelepasan awal bagi memberi laluan kepada kakitangan yang ingin beriadah.

Antaranya, Communication Corporation Sdn Bhd yang mengendalikan Media Selangor dan Central Spectrum Sdn Bhd.


Pengarang :